KOLEKSI SAJAK


 OBOR HEMAH



Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah,
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988


**********************************************************
Latihan 3

A.   Baca puisi di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Jalur Gemilang   

Berkibar gagah saat 31 Ogos 1957
Asal usulmu hampir dilupai
Identiti baru lahir pada 31 Ogos 1997
Namamu bertukar menjadi Jalur Gemilang

Dua kali Everest kamu kunjungi
Magendran dan rakan pembuka tirai
Tanda membawa semangat kami

Sekali samudera kau harungi
Dato' Azhar Mansor kau temani
Sebagai bukti kecekalan kami
Hingga kini mekar di hati

Antartika juga kau singgahi
Bersama berkelana dua insan berani
Sekali lagi bersama pemimpin yang dicintai

Proton Wira di Artik diiringi
Saksi keupayaan kami
Menguasai teknologi

31 Ogos 2001 peneman Shamsulrijal Shamsuddin
Menjadi penglipur hati
Tatkala Satria GTnya terkulai di salji
Kau menjadi penyambut
Abdul Malik Maidin di penjuru Selat Inggeris

Dirimu peneraju dunia
Berkibar mencelah sewaktu hujan peluru
Penobat keamanan penenang huru-hara
Menjadi sandaran saudara sedunia
Mendapat penghormatan segenap bangsa teraniaya

Kau semakin matang
Membawa cita-cita kami
Cemerlang Gemilang Terbila
Agar hidup membawa erti

1.   Tanggal 31 Ogos 1997 berkaitan dengan .........
      A.   kemerdekaan Malaysia 
      B.   bendera Malaysia dinamakan Jalur Gemilang
      C.   kejayaan Shamsulrijal Shamsuddin
      D.   Dato' Azhar Mansor melakar sejarah

2.   Perkataan harungi  dalam petikan bermaksud  ......
      A.   mengairi                        C.   menempuhi
      B.   melintasi                        D.  menghadapi

3.   Siapakah yang telah gagal dalam usaha mengharumkan nama
      Malaysia?
      A.   Abdul Malik Maidin        C.   Shamslrijal Shamsuddin
      B.   Dato' Azhar Mansor        D.   Magendran dan rakan

4.   Pilih pernyataan yang tidak benar tentang puisi di atas.
      A.   Dibawa berenang merentasi Selat Inggeris
      B.   Jalur Gemilang pernah berkibar di Kutub Utara
      C.   Dato' Azhar Mansor membawanya mengelilingi dunia
      D.   Pemimpin negara telah mengibar Jalur Gemilang di Antartika

5.   Rangkap ke lapan menggambarkan peranan Malaysia sebagai ......
      A.   pembantu negara miskin      C.   menolong bangsa teraniaya
      B.   pemberi bantuan kewangan  D.   pasukan pengaman kebangsaan
    
*********************************************************

Latihan 2

A.  Baca puisi di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.


                     Selamat Pagi Cikgu

Biar dulu sejarahmu
dipenuhi pahit getir
bersama lumpur dan selut
kau gagahi jua langkah ke rumah ilmu itu
demi membakar kerinduan sebaris lagu
"Selamat Pagi Cikgu".

                Bersama alunan lagu
                "Selamat Pagi Cikgu"
                kini dadamu telah terisi ilmu abadi
                tidak seperti semalam kosong dan kerdil.

Hari ini ilmumu sebati bersama jiwa
cintamu abadi pada negara, bangsa dan agama,
usah ada riak dan angkuh,
kerana langkahmu belum lagi berakhir
dan mungkin di sana bakal ada
onak dan duri yang menanti.

                Terima kasih rakanku
                andainya kau masih dan terus
                menghargai dan mengingati sebaris lagu
                "Selamat Pagi Cikgu"

                                             (Hazlinda Hassan, Pelita, Pahang)



1.   Apakah tujuan puisi ini ditulis?
      A.  untuk menghargai sejarah hidup penyajak.
      B.  untuk menghargai dan mengingati jasa guru.
      C.  untuk menyatakan keinginan penyajak menjadi guru.
      D.  untuk menunjukkan kecekalan panyajak menempuh hidup.

2.   Kepada siapakah puisi ini ditujukan?
      A.  ibu bapanya                 C.   adiknya
      B.  gurunya                       D.   kawannya
   
3.   Frasa onak dan duri yang menanti dalam puisi bermaksud .........
      A.  tidak melakukan perbuatan yang sumbang
      B.  kesusahan yang pernah dialami
      C.  kerja-kerja yang mesti diteruskan
      D.  halangan yang akan dihadapi

4.   Nasihat yang disampaikan oleh penyajak ialah ...........
       A.  jangan sombong dan lupa diri
       B.  jangan mudah berputus asa
       C.  berusaha menambah ilmu di dada
       D.  tidak mengingati sejarah silamnya

5.   Apakah maksud rangkap kedua sajak berkenaan?
      A.  sebelum ini dia seorang yang miskin
      B.  Dia akan meneruskan cita-cita untuk menuntut ilmu
      C.  Hari ini dia telah menjadi seorang yang berilmu
      D.  Dia seorang yang berilmu sejak dahulu

******************************************************************

Latihan 1

        Kisah Perempuan Itu



Suatu malam,
di tepi jalan dekat pasar borong
perempuan itu mula menyelongkar
timbunan sampah dalam tong sampah
mengais apa sahaja asalkan jadi wang
mengambil apa saja asalkan boleh dimakan.

Perempuan itu tidak peduli
malah dia sudah lali
dengan ulat-ulat
dengan bau busuk
tajam menusuk
dari timbunan sampah.

Perempuan itu mula mengutip
buah separuh busuk
ikan kering hapak
ikan bilis berulat
diisinya dalam kotak sabun
sambil kotak fikirannya menerawang
tujuh mulut menanti di pondok usang
dan lakinya lama sudah dipanggil Tuhan

Kepadaku
perempuan tua itu lebih mula
daripada pengemis di tepi jalan
yang menagih simpati orang
perempuan itu sedang mengutip
sisa hidupnya yang punah
kerana cintanya kepada anak-anak.

1.  Di manakah penulis melihat perempuan itu 'bekerja'?
     A.  di bawah lampu           C.  di pasar borong
     B.  di tepi jalan                  D.  di atas timbunan sampah

2.  Bagaimanakah keadaan di tempat pembuangan sampah itu?
     A.  kotor serta busuk         C.   amat menyedihkan
     B.  sangat mengerikan        D.   sungguh melalikan

3.  Apakah benda yang tidak diambil oleh perempuan itu?
     A.  buah-buahan                C.   kotak sabun
     B.  makanan                      D.  ikan kering

4.   Apakah pandangan penulis terhadap perempuan itu?
      A.  dia lebih mulia daripada penagih simpati.
      B.  dia lebih baik daripada orang yang meminta-minta
      C.  dia lebih mulia daripada orang di tepi jalan
      D.  dia gigih mengharungi hidupnya

5.   Manakah antara berikut maklumat yang tidak benar tentang
      perempuan itu?
      A.  dia kematian suami
      B.  dia miskin dan papa kedana
      C.  dia mempunyai tujuh orang anak
      D.  dia tinggal di rumah batu

2 comments:

  1. Persembahan yang menarik! Banyak soalan yang boleh dipetik melalui segmen-segmen ini.

    ReplyDelete
  2. Tahniah cikgu Zalina. Satu blog yang menarik, banyak info yang boleh diperolehi oleh pelajar-pelajar cikgu.

    ReplyDelete